Wednesday, February 1, 2012

Tanpa mereka, kita masih menyembah di kuil


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah syukur setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana mengurniakan keislaman kepada kita. Nikmat yang tiada bandingannya dengan nikmat-nikmat lain di dunia. Keislaman yang diperoleh ini tentunya bukan mudah jika tanpa kesungguhan golongan pendakwah yang sanggup meninggalkan tempat asal masing-masing  ke tempat yang asing untuk mengembangkan Islam.

Dalam banyak-banyak negara di dunia, tanah melayu menjadi tempat pilihan untuk mengembangkan islam. Pembukaan Melaka sebagai pelabuhan entrepot yang maju serta terbuka menarik minat ramai saudagar untuk berdagang serta pendakwah untuk menyebarkan Islam. Pengislaman Parameswara menjadi kemuncak kepada proses pengislaman besar-besar rakyat di tanah melayu dan di bawah naungan kerajaan Melaka.

Jika Allah tidak mengerakkan hati mereka untuk belayar ke tanah melayu dan mendakwahkan penduduk tanah melayu serta membukakan hati pembesar tanah melayu dan rakyat untuk menerima islam, mungkin kita semua masih lagi membakar colok dan menyembah di kuil mahupun tokong. Sedangkan di negara-negara jiran Malaysia sehingga kini masih tebal ke-Budha-annya.

Kefahaman yang jelas tentang  firman Allah dalam ayat al-Quran Surah Ali Imran ayat 104; “Dan hendaklah di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”  

Hadith Rasulullah s.a.w “ Sesiapa yang mendapat hidayah disebabkan oleh tangan-tangan kamu, itu lebih baik daripada  unta merah”. Unta merah menjadi kebanggaan bangsa Arab ketika itu kerana sukarnya mendapatkannya dan sesiapa yang mempunyai unta merah adalah golongan hartawan kerana mahalnya harga unta tersebut. Jika kita ibaratkan seperti zaman ini, jika seseorang itu memperoleh Islam disebabkan usaha kita dan  itu lebih baik daripada kita memperoleh sebuah kereta Ferarri.

p/s: jom berlumba-lumba untuk menjadi orang yang beruntung!


Perpaduan yang lebih tinggi daripada islam?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Sana-sini sibuk berbicara mengenai perpaduan. Perpaduan teras kejayaan. Setakat mana benarnya slogan ini? Mungkin untuk hebahan di dunia adalah lakunya, untuk sesedap halwa telinga mendengarnya, tapi sejauh mana ia mampu memberi keuntungan di akhirat nanti.

Islam bukan hanya menekankan dunia, malahan akhirat turut menjadi agenda utama. Kesenangan dunia semata hanyalah sesuai untuk golongan ateis yang tidak mempercayai adanya hari akhirat yang menjadi gelanggang mengadili manusia di atas segala amalannya di dunia.

Perpaduan hanyalah satu cabang daripada Islam, sedangkan Islam itu adalah satu sistem yang lengkap. Jika kita melihat kepada agenda perpaduan, sudah lebih 50 tahun kita merdeka, namun agenda perpaduan yang diuar-uarkan tidak menepati sasaran yang diidamkan. Walaupun kita masih mampu hidup harmoni di Malaysia namun hakikatnya ketebalan benteng di antara kaum-kaum di Malaysia masih sukar untuk dikikis, pantang dicuit pasti meletup.

Rasulullah s.a.w mengambil masa 13 tahun untuk mengukuhkan akidah bangsa Arab Quraisy di Mekah kepada mentauhidkan Allah s.w.t sebelum mengasaskan negara Islam Madinah yang pertama di dunia. Madinah ketika itu juga mempunyai masyarakat pelbagai kaum  meliputi Arab (Muhajirin, Aus dan Khadraj), Parsi, Afrika, Yahudi dll.

Walaupun disebalik ancaman Yahudi yang sentiasa memecahbelahkan ketenangan umat Islam di Madinah ketika itu, namun kekuatan Islam tidak mampu dipecah belahkan Yahudi. Kaum Yahudi ini terpaksa mengakui dan bernaung di bawah panji Islam untuk jaminan keselamatan mereka.  Sedegil-degil dan sekeras-keras bangsa di dunia pun mampu ditundukkan di bawah kekuasaan Islam, sewajarnya Malaysia yang juga mempunyai masyakat berbilang kaum mungkin boleh mengambil contoh model negara Islam Madinah yang berjaya menyatu padukan masyarakatnya melangkaui sempadan bangsa.

Kunci kejayaannya adalah kekuatan akidah yang benar.  Melayu tidak akan mampu menjadi kaum India walau mahir bercakap Tamil, kaum India yang berkulit sedikit gelap tentunya tidak boleh menjadi bangsa Chinese walaupun melakukan pembedahan plastik untuk mencerahkan kulit, secara genetiknya mereka tetap berbangsa India, dan begitulah Chinese tentunya tidak menjadi Melayu walau memakai kain pelekat, bersongkok, memakan nasi dengan tangan dan pandai menulis jawi.

 Setiap kaum ada identitinya tersendiri bahkan dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat 13;  Allah s.w.t menyatakan “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Mahateliti”.

Jelas bahawa kemuliaan seseorang manusia adalah kerana ketaqwaannya kepada Allah s.w.t bukan bangsanya. Dengan Islam, Melayu, Chinese, India dan lain-lain kaum di Malaysia boleh bersatu padu. Semua kaum boleh menjadi Islam. Walaupun tidak memeluk Islam, hak-hak mereka tetap dijamin dalam Islam malah Islam lebih awal menjamin hak-hak kemanusiaan berbanding agama-agama dan pemerintahan lain di dunia (check-it).

P/s : sudah masanya kita umat Islam bekerja untuk mengembalikan Islam yang sebenar. 50 tahun adalah masa yang terlalu lama. Jika diberikan 100 tahun pun masih belum cukup. Islam is the only solution.

Jangan kita kembali ke zaman gelap

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Rata-rata rakyat Malaysia mempersoalkan mengenai  keadilan badan kehakiman di Malaysia yang dikatakan tidak adil dan dipegang oleh satu kuasa yang lain…mungkin ya dan mungkin juga tidak. Hanya Allah dan mereka yang berkaitan dengan badan kehakiman yang mengetahuinya. Saya tidak mahu mempertikaikan institusi kehakiman negara walaupun pelbagai persoalan yang timbul disebabkan banyak perkara yang tidak logik. Moga Allah menunjukkan siapa yang betul dan salah agar rakyat Malaysia tidak tertipu atau diperbodohkan oleh golongan yang berkepentingan.

Cuma saya sedikit berasap (cuba untuk bersabar) apabila ada pihak yang dengan terbukanya meminta rakyat Malaysia supaya menerima 100% keputusan dan hujah yang diberikan oleh keputusan institusi kehakiman, polis dan dasar-dasar kerajaan tanpa mempersoalkan sedikit pun. Kita sebagai rakyat Malaysia tentunya berhak untuk menyuarakan pendapat di atas perkara yang dirasakan perlu ditegur untuk pembaikan. Bahkan ini sejajar dengan ajaran Islam dalam Al-Quran yang menyatakan manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Btw, bukankah perlembagaan Malaysia yang merupakan undang-undang tertinggi negara dalam artikel 11 juga membenarkan dan menjamin kebebasan individu untuk bersuara. Retorik sematakah?

Sejarah membuktikan kemunduran rakyat di benua Eropah akibat konkongan daripada gereja  dan istana yang menekan rakyat untuk menerima segala agenda dan hujah mreka tanpa boleh dipersoalkan. Mana-mana individu yang berani menyuarakan pendapat yang berlainan daripada gereja dan istana akan ditangkap dan dibunuh. Saintis yang berani membangkang gereja dengan menyatakan matahari adalah pusat sistem suria bukannya bumi dikenakan tahanan dalam rumah dan ada yang dibunuh. Bahkan mereka dihukum murtad dari ajaran Kristian. Tiba-tiba teringat kepada Prof. Aziz Bari, walaupun tekanan dan ancaman yang dihadapi oleh beliau tidak sekeras gereja pada zaman gelap tapi sedikit sebanyak ada tempiasnya apabila golongan akademik disekat untuk bersuara dan menyuarakan pandangan mereka kepada pemerintah.

Jika semua pemerintah islam boleh bersikap seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar yang secara terbuka menyeru rakyat supaya membetulkan mereka jika mereka tersilap dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah. Bahkan Umar al-Khattab tersenyum apabila seorang pemuda pemuda bangkit dan menghunuskan pedangnya sambil berkata dia akan membetulkan Umar dengan pedangnya jika Umar melakukan kesilapan. Saya rasa jika pemuda itu hidup pada zaman ini di Malaysia, wajib dah kena ISA atau ditangkap serta-merta atas kesalahan mengugut pemimpin negara etc. kalau Adam Adli yang menurunkan bendera PM Malaysia pun dah kena gantung tiga semester dan diancam pelbagai ugutan, inikan pula menghunus pedang kepada pemimpin negara…. Tapi Saidina Umar boleh tersenyum, gembira kerana ada pemuda yang sanggup membetulkannya dikala beliau tersasar daripada perjuangan Islam yang sebenar. Hebatnya tarbiah yang ditanam oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat baginda, apabila ketaqwaan menjadi keutamaan, tiada yang lebih indah melainkan keredhaan Allah semata-mata.

p/s: Alangkah indahnya jika semua pemimpin Islam boleh mengambil ibrah dan pengajaran daripada kisah ini. Kembali kepada Islam, itulah solusinya.

Sejarah tidak pernah silap

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Semasa masih menuntut di tahun awal pengajian, saya dan rakan2 pernah menghadiri satu kursus BTN. Sesiapa yang pernah mengikuti modul ini, tentu akan merasai pengalaman sama iaitu dibrainwash sehabisnya.

Semasa program itu, minda saya dan rakan-rakan diasak hebat supaya menyakini bahawa bangsa itu perlu diutamakan daripada agama dengan hujah kerana tanpa bangsa melayu, tentunya tiada siapa yang akan menjaga islam ini di Malaysia, dengan itu bangsa itu perlu diutamakan berbanding agama.

Kemudian kami diberi contoh mengenai negara Islam Sepanyol yang pernah gemilang dengan kehebatan Islamnya di Andalusia selama 8 abad, namun umat Islam diusir dan dibunuh apabila Kristian menjajah Sepanyol mengambarkan betapa tiada yang lebih dapat menjaga agama melainkan bangsa itu sendiri. Oleh sebab itu, bangsa melayu mestilah bersatu padu  dan memperjuangkan bangsanya agar islam juga akan gemilang , takkan nak harap bangsa lain jaga Islam..bla..bla..bala dan banyak lagilah fakta yang diberikan.

Rata-rata dari kami mengagguk-angguk tanda setuju dengan kenyataan fasilitator . Selesai ber-BTN,kami semua seperti diresapi  aura semangat  kemelayuan , berapi-api untuk mendaulatkan bangsa melayu yang tercinta daripada tertindas dibumi sendiri tambah-tambah dengan nyanyian lagu Anak Kecil Main Api.

Balik dari BTN, hampir seminggu saya termenung panjang, betulkah begitu keadaannya…?  Susah jugak untuk menerima kenyataan ini kerana  semua tahu agama islam itu lebih tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Tapi saya ketandusan hujah. Tiada fakta untuk menyokong. Salah saya kerana tidak banyak membaca sejarah islam dan bahan ilmiah lain. Alahai…

Lama-kelaman,Alhamdulillah,saya makin mendapat pencerahan atas beberapa perkara yang bermain difikiran saya. Ingin saya kongsikan sedikit  maklumat yang saya peroleh hasil rujukan, perbincangan, ceramah dan program-program ilmiah.

Jika kita menelusuri sejarah kejatuhan sebuah tamadun islam, tidak dapat disangkal bahawa sememangnya islam itu memainkan peranan utama. Sikap melupakan tanggungjawab jihad, perebutan  pangkat dan kekuasaan, cintakan dunia, serta rapuhnya iman menjadi punca utama kejatuhan sesebuah  tamadun islam yang hebat. Resepi ini menghinggap  mana-mana tamadun islam dari zaman dinasti umaiyyah hinggalah khalifah islam terakhir di Istanbul. Dan perkara sama berlaku kepada kerajaan di tanah melayu. Kerapuhan iman, kecintaan kepada dunia, melupakan tanggungjawab berjihad dan tamakkkan kekuasaan menyebabkan sebilangan pemimpin tanah melayu sanggup bersekongkol dengan yahudi british untuk mendapatkan kuasa yang mereka idamkan,akhirnya kekuasaan yang diingini hanyalah diatas kertas sahaja sedangkan pembesar melayu hanyalah sekadar boneka. Segala tindakan perlu mendapat persetujuan british.

 Kejatuhan tamadun Abbasiyah yang menaungi 2/3 dunia disebabkan serangan tentera Monggul. Lemahnya iman, melupakan jihad dan kurangnya kebergantungan kepada Allah serta diresapi penyakit al-wahan menjadi asbab kepada turunnya bala daripada Allah dengan dihantarkan musuh daripada tentera monggul, dengan  kekalahan Abasiyah ditangan monggul yang dipimpin Hulagu Khan yang tidak pernah tewas walau satu pun peperangan. Walhal kerajaan mesir mamaluk yang jauh lebih kecil daripada Abbasiyyah yang dipimpin oleh Sultan Sulaiman Qutz berjaya menumpaskan Hulagu dengan kekalahan yang sangat memalukan dipihak monggul. Kekuatan jihad,iman dan kebergantungan yang tinggi menjadi kekuatan kepada tentera Mamaluk.

 Perkara sama terjadi di akhir fasa sebelum kejatuhan tamadun islam di Sepanyol, umat islam mula dihinggapi penyakit melupakan tanggungjawab utama berjihad dan bersenang-senang dengan dunia,menyukai hiburan dan mula diresapi budaya berprotokol. Timbul persaingan dan perebutan kuasa sehingga islam di Sepanyol itu berpecah kepada 20 negara kecil,sehingga dikatakan ketika itu jika seseorang berjalan sepanjang hari di Sepanyol,dia dapat melintasi tiga wilayah yang diperintah oleh 3 pemerintah yang berlainan.

Kesannya, apabila kristian mula menguasai wilayah islam, amat mudahlah mereka menjajah kerana tiada kesatuan antara umat islam bahkan wilayah yang telah sedia terpecah-pecah memudahkan misi mereka. ketika itu benteng terakhir umat islam hanyalah Granada sahaja yang tinggal, namun disebabkan ketidakpuasan hati dengan perlantikan pemerintah Granada ketika itu dan ketamakan pangkat dan kuasa menyebabkan terdapat pembesar yang sanggup bersekongkol dengan Ferdinand dan Isabella, pemerintah Kristian untuk membantunya menyerang Granada dan merampas kuasa bagi pihak dirinya. Akhirnya benteng terakhir umat islam di Sepanyol diambil oleh Kristian dan umat islam dibunuh tanpa belas.

Apa yang dapat disimpulkan, umat Islam itu hebat apabila mereka meletakkan islam itu ditempatnya. Punca kejatuhan tamadun Islam adalah kerana melupakan jihad dan dihinggapi penyakit al-wahan (cintakan dunia dan takutkan mati). Bahkan perebutan kuasa, perpecahan, kelemahan pentaddbiran juga menjadi antara sebab kejatuhan tamadun islam. Namun kuncinya ialah ketaqwaan kepada Allah.

Sejarah banyak menunjukkan bagaimana kekuatan yang sedikit mampu menumbangkan kekuatan yang besar seperti dalam peperangan Badar, Ahzab , peperangan yang dipimpin oleh Tariq bin Ziad 12 000 tentera melawan tentera Gotic seramai 200 000 orang dan kejayaan membuka konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang dianggap mustahil bahkan dikatakan konstantinople tidak akan jatuh ke tangan penjajah selagi adanya matahari dan bulan. Semuanya terjadi dengan izin Allah dan semestinya kehebatan taqwa dan iman kepada Allah yang memungkinkan semua ini terjadi.

Kata-kata Saidina Umar Al-Khattab “Kita ini dimuliakan Allah dengan Islam, jika kita mencari selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghinakan kita”.

Itulah yang berlaku kepada umat Islam sekarang, mencari sesuatu selain daripada Islam, mengagungkan perlembagaan yang jauh daripada Islam ,meletakkan Islam dipinggir. Kesannya mereka terhina dibumi sendiri.

Ps: saya tak pasti apa agenda disebalik BTN, agak terkilan kerana isu agama dan bangsa itu dipermainkan serta sejarah itu diputarbelitkan..patut semua fasilitator BTN pergi ISK dulu..^________^