Wednesday, February 1, 2012

Jangan kita kembali ke zaman gelap

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Rata-rata rakyat Malaysia mempersoalkan mengenai  keadilan badan kehakiman di Malaysia yang dikatakan tidak adil dan dipegang oleh satu kuasa yang lain…mungkin ya dan mungkin juga tidak. Hanya Allah dan mereka yang berkaitan dengan badan kehakiman yang mengetahuinya. Saya tidak mahu mempertikaikan institusi kehakiman negara walaupun pelbagai persoalan yang timbul disebabkan banyak perkara yang tidak logik. Moga Allah menunjukkan siapa yang betul dan salah agar rakyat Malaysia tidak tertipu atau diperbodohkan oleh golongan yang berkepentingan.

Cuma saya sedikit berasap (cuba untuk bersabar) apabila ada pihak yang dengan terbukanya meminta rakyat Malaysia supaya menerima 100% keputusan dan hujah yang diberikan oleh keputusan institusi kehakiman, polis dan dasar-dasar kerajaan tanpa mempersoalkan sedikit pun. Kita sebagai rakyat Malaysia tentunya berhak untuk menyuarakan pendapat di atas perkara yang dirasakan perlu ditegur untuk pembaikan. Bahkan ini sejajar dengan ajaran Islam dalam Al-Quran yang menyatakan manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Btw, bukankah perlembagaan Malaysia yang merupakan undang-undang tertinggi negara dalam artikel 11 juga membenarkan dan menjamin kebebasan individu untuk bersuara. Retorik sematakah?

Sejarah membuktikan kemunduran rakyat di benua Eropah akibat konkongan daripada gereja  dan istana yang menekan rakyat untuk menerima segala agenda dan hujah mreka tanpa boleh dipersoalkan. Mana-mana individu yang berani menyuarakan pendapat yang berlainan daripada gereja dan istana akan ditangkap dan dibunuh. Saintis yang berani membangkang gereja dengan menyatakan matahari adalah pusat sistem suria bukannya bumi dikenakan tahanan dalam rumah dan ada yang dibunuh. Bahkan mereka dihukum murtad dari ajaran Kristian. Tiba-tiba teringat kepada Prof. Aziz Bari, walaupun tekanan dan ancaman yang dihadapi oleh beliau tidak sekeras gereja pada zaman gelap tapi sedikit sebanyak ada tempiasnya apabila golongan akademik disekat untuk bersuara dan menyuarakan pandangan mereka kepada pemerintah.

Jika semua pemerintah islam boleh bersikap seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar yang secara terbuka menyeru rakyat supaya membetulkan mereka jika mereka tersilap dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah. Bahkan Umar al-Khattab tersenyum apabila seorang pemuda pemuda bangkit dan menghunuskan pedangnya sambil berkata dia akan membetulkan Umar dengan pedangnya jika Umar melakukan kesilapan. Saya rasa jika pemuda itu hidup pada zaman ini di Malaysia, wajib dah kena ISA atau ditangkap serta-merta atas kesalahan mengugut pemimpin negara etc. kalau Adam Adli yang menurunkan bendera PM Malaysia pun dah kena gantung tiga semester dan diancam pelbagai ugutan, inikan pula menghunus pedang kepada pemimpin negara…. Tapi Saidina Umar boleh tersenyum, gembira kerana ada pemuda yang sanggup membetulkannya dikala beliau tersasar daripada perjuangan Islam yang sebenar. Hebatnya tarbiah yang ditanam oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat baginda, apabila ketaqwaan menjadi keutamaan, tiada yang lebih indah melainkan keredhaan Allah semata-mata.

p/s: Alangkah indahnya jika semua pemimpin Islam boleh mengambil ibrah dan pengajaran daripada kisah ini. Kembali kepada Islam, itulah solusinya.

No comments:

Post a Comment